Kepuasan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di SJK(C) melalui penggunaan papan putih interaktif
Azizul Abdul Radzak1, Noraini Mohamed Noh2.
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kepuasan pembelajaran melalui penggunaan papan putih interaktif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid Tahun 3. Kajian ini akan mengkaji persepsi murid dan guru terhadap penggunaan papan putih interaktif dalam pengajaran Bahasa Melayu. Pendekatan kualitatif telah digunakan dalam kajian ini. Pemilihan sampel kajian dijalankan secara bertujuan yang melibatkan 15 orang murid tahun 3 dan dua orang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 3. Lokasi kajian adalah di sebuah SJK(C)di daerah Pasir Gudang, Johor Bahru. Dua jenis instrumen kajian digunakan iaitu pemerhatian berstruktur menggunakan senarai semak dan temu bual separa berstruktur. Data yang telah dikumpulkan dianalisis menggunakan analisis deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan murid merasa puas terhadap penggunaan papan putih interaktif dalam proses pengajaran di kelas. Murid berasa gembira dan seronok semasa proses pengajaran guru menggunakan papan putih interaktif. Dapatan kajian juga menunjukkan guru turut memberikan respons positif terhadap penggunaan papan putih interaktif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu tahun 3. Guru bersetuju bahawa murid berasa gembira dan seronok semasa proses pengajaran menggunakan papan putih interaktif di kelas. Guru menyatakan bahawa penggunaan teknologi maklumat di tempat kerja akan meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti. Justeru, penggunaan papan putih interaktif perlu diperluaskan di semua sekolah dan guru perlu diberi latihan penggunaannya.
Affiliation:
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 210 time(s))