Penilaian keberkesanan Program Sarana Ibu Bapa dalam meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains sekolah rendah dengan menggunakan model penilaian CIPP
Asyraf Ab Latif1, Norazilawati Abdullah2.
Program Sarana Ibu Bapa merupakan inisiatif yang diperkenalkan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bertujuan untuk meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pelajaran anak-anak di rumah dan juga di sekolah. Kajian ini dilakukan untuk mengkaji tahap penglibatan ibu bapa dalam pelajaran anak di sekolah dan di rumah serta hubungan di antara elemen penglibatan ibu bapa dalam pelajaran anak di rumah dengan pencapaian anak dalam mata pelajaran Sains sekolah rendah. Kajian dilakukan dengan menggunakan kaedah tinjauan dan instrumen soal selidik digunakan untuk mengumpulkan data. Responden kajian terdiri daripada 100 orang ibu bapa dari lima buah sekolah di daerah Perak Tengah. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif dan inferensi. Ujian korelasi Pearson digunakan untuk mencari perhubungan di antara pemboleh ubah kajian. Dapatan kajian menunjukkan tahap penglibatan ibu bapa dalam pelajaran anak di sekolah dan juga di sekolah berada pada tahap tinggi. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara elemen penyediaan suasana pembelajaran di rumah, elemen komunikasi dengan anak serta elemen sokongan terhadap kecemerlangan anak dengan pencapaian anak dalam mata pelajaran Sains. Dapatan ini menunjukkan bahawa tinggi atau rendah pencapaian anak dalam mata pelajaran Sains tidak dipengaruhi oleh elemen penyediaan suasana pembelajaran di rumah, elemen komunikasi dengan anak dan elemen sokongan terhadap kecemerlangan anak. Elemen interaksi sosial dengan anak pula didapati mempunyai hubungan songsang yang lemah dengan pencapaian anak dalam mata pelajaran Sains. Kesimpulannya, Program Sarana Ibu Bapa yang diperkenalkan telah berjaya menimbulkan kesedaran di kalangan ibu bapa untuk melibatkan diri dalam pelajaran anak-anak, tetapi ia tidak cukup untuk membantu meningkatkan pencapaian anak mereka dalam mata pelajaran Sains.
Affiliation:
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 219 time(s))